PKR tanding 40, DAP 29, Amanah 13 kerusi di Sarawak

PKR tanding 40, DAP 29, Amanah 13 kerusi di Sarawak

DAP hanya akan bertanding 29 dari 82 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang menyaksikan 40 kerusi akan ditandingi PKR manakala Parti Amanah Negara (Amanah) 13 kerusi.

Calon DAP di PRN Sarawak pada 7 Mei depan.

DAP hanya akan bertanding 29 dari 82 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal menyaksikan 40 kerusi akan ditandingi PKR manakala Parti Amanah Negara (Amanah) 13 kerusi.

Namun begitu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kemungkinan wujud elemen sabotaj ke atas hubungan PKR dan DAP menjelang pilihan raya negeri Sarawak nanti. Jika itu berlaku, angka di atas tidak akan tepat lagi.

“Saya menasihati semua calon dan penyokong agar menafikan sebarang tuduhan kerana ia berniat untuk mengancam moral kita,” katanya ketika memperkenalkan sebahagian calon DAP semalam.

Menurut Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, persetujuan telah dicapai bagi memastikan calon Pakatan Harapan akan berdepan calon Barisan Nasional (BN) dalam pertarungan satu lawan satu.

Tambahnya menerusi persetujuan itu, DAP dapat bertanding di lebih banyak kerusi luar bandar sejajar dengan program Impian Sarawak inisiatif prihatin parti itu.

Lim  berkata demikian ketika memperkenalkan calon-calon DAP untuk zon selatan Sarawak (dari Kucing ke Sri Aman) malam tadi, lapor Utusan Borneo.

Turut hadir Bendahari DAP Pusat yang juga Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dan ADUN Padang Kota Chow Kon Yeow.

Hari ini DAP mengumumkan kesemua calonnya untuk PRN negeri.

Pengerusinya Chong Chieng Jen, mengumumkan calon itu dengan beliau sendiri akan mempertahankan Kota Sentosa.

Adun yang akan mempertahankan kerusi masing-masing adalah King Wei (Padungan), Violet Yong (Pending), Chiew Wang See (Batu Kawa), Ting Tze Fui (Meradong), Yap Hoi Liong (Dudong), David Wong (Pelawan), Chiew Chiu Sing (Tanjung Batu) dan Alan Ling (Piasau).

Seramai 16 muka baru adalah Abdul Aziz Isa (Stakan), Sanjan Daik (Mambong), Andrew Nyabe (Kedup), Yong Siew Wei (Repok), Rinda Juliza Alexander (Pakan), Richard Lias (Ngemah), Irene Mary Chang (Bukit Assek), Chiew Sung Ngie (Bawang Assan), Frankie Bendindang (Pelagus), Paren Nyawi (Katibas), Larry Asap (Bukit Goram), Kenneth Adan Silek (Murum), Leighton Manjah (Kemena), Baba Emperan (Samalaju), Dr Ting Tiong Choon (Pujut) dan Paul Raja (Mulu).

Calon DAP yang lain adalah Mordi Bimol (Tasik Biru), Edward Luwak (Bukit Semuja), Leon Jimat (Simanggang) dan Baru Langub (Senadin).

Semalam DAP mengumumkan 10 calonnya bagi zon selatan (Kuching hingga Sri Aman) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) yang dijadual pada 7 Mei depan.

Mereka ialah Mordi Bimol (Tasik Biru), Wong King Wei (Padungan), Violet Yong (Pending), Christina Chiew (Batu Kawah), Abdul Aziz Isa (Stakan), Sanjan Daik (Mambong), Edward Luak (Bukit Semuja), Leon Jimat Donald (Simanggang), Andrew Nyabe (Kedup) dan Chong Chieng Jen (Kota Sentosa).

Chong yang juga pengerusi DAP Sarawak berkata dengan pengumuman calon itu DAP berazam untuk melakukan ‘kejutan’ dengan memenangi banyak kerusi luar bandar.

Beliau menambah, dengan memenangi lebih banyak kerusi luar bandar pada PRN kali ini, keadaan politik di Sarawak dapat diubah.

“DAP tidak boleh menyertai pilihan raya (negeri) tanpa calon-calon. Malam ini (kelmarin), saya mahu mengambil kesempatan ini mengumumkan calon-calon DAP untuk Pilihan Raya Negeri kali ini,” katanya semasa melancarkan jentera pilihan raya DAP bagi zon selatan di ibu pejabat DAP di sini sebagaimana dilaporkan Borneo Post.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata calon DAP khasnya bagi zon selatan dibarisi pelbagai kaum yang mewakili harapan semua rakyat Sarawak.

“Kita dapat melihat harapan Sarawak menerusi calon-calo ini, yang mewakili semua kaum. Janganlah kita takut (untuk) melakukan perubahan,” tegasnya.

Pengumuman itu menyaksikan berlaku pertindihan kerusi antara DAP dan PKR membabitkan Tasik Biru, Mambong, Kedup, Bukit Semuja dan Simanggang.

TAGS