Malaysia Dateline

PKR tangguh pemilihan parti, 30 peratus anggota hadir pun dedah risiko Covid-19

Kongres Tahunan PKR hari ini bersetuju meluluskan usul penangguhan pemilihan parti dan tempoh memegang jawatan Majlis Pimpinan Pusat (​MPP) dan Jawatankuasa Cabang 2018 hingga 2021.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penangguhan itu dibolehkan mengikut Fasal 47.3 perlembagaan parti namun tidak boleh melepasi tempoh 18 bulan dari tempoh tamat pemilihan lepas dan pegangan jawatan.

“Suatu tarikh pemilihan akan ditetapkan oleh MPP kemudian nanti,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu itu berkata, pemilihan parti lazimnya berlangsung hampir enam bulan membabitkan peringkat Cabang, AMK, Wanita dan MPP.

“Ketika tempoh darurat dan PKR 3.0 yg masih berjalan, meneruskan pemilihan dalam tempoh yang panjang terdedah kepada risiko Covid-19.

“Pemilihan parti ialah sistem satu anggota satu undi yang berjalan secara himpunan fizikal.

“PKR sekarang mempunyai keanggotaan sebesar 1,033,000 yang jika 30 peratus sekalipun yang keluar mengundi akan terdedah risiko Covid-19 yg amat membahayakan,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menambah pelaksanaan vaksinasi yang amat rendah di seluruh negara juga tidak memungkinkan PKR mengambil risiko menjalankan pemilihan parti.

“Dengan mengambil kira semua faktor di atas, MPP PKR terus komited memberi keutamaan kepada usaha mengatasi pandemik Covid-19, membela rakyat yang teruk terkesan, pemulihan ekonomi negara dan pelaksanaan program vaksinasi yang lebih berkesan dan menyeluruh,” kata Saifuddin.