Malaysia Dateline

PKR Terengganu jauhkan diri dari wanita itu, polis siasat di bawah Akta Hasutan

PKR Terengganu menjauhkan diri mereka dari seorang wanita dengan menafikan beliau adalah Ketua Srikandi Negeri dan Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri Terengganu sebagaimana yang didakwanya sebelum ini.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu, Syed Mohd Al-Amin bin Tuan Sharif berkata, pihaknya memandang serius laporan polis yang dibuat oleh wanita berkenaan yang kini disebarkan dengan meluas.

“Salinan repot tersebut telah tersebar secara meluas dalam beberapa kumpulan whatapps dan media sosial.

“Difahamkan beliau telah ditahan oleh pihak PDRM di bawah Akta Hasutan untuk siasatan lanjut,” kata Syed Mohd Al – Amin dalam kenyataan medianya.

Wanita itu dikatakan membuat laporan polis terhadap Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil kononnya peguam itu membuat perkara tidak senonoh terhadap beliau.

Faiz telah membuat laporan polis balas dan menafikan segala tuduhan wanita itu melalui laporan polis itu. Beliau juga mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.

“Dari pemantauan MPNT, Saudari ******* telah kerap kali menggunakan nama-nama jawatan parti sama ada di peringkat cabang mahupun negeri apabila beliau dilibatkan dalam beberapa program dan kenyataan media yang dibuat sebelum ini.

“Hasil siasatan mendapati ******** tidak pernah dilantik sebagai penyandang jawatan Ketua Srikandi Negeri atau Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri sebagaimana yang didakwa,” kata kenyataan PKR Terengganu itu.