Malaysia Dateline

PKR tidak akan terkubur di Sarawak walaupun dikhianati

Parti Keadilan Sarawak (PKR) tidak akan terkubur di negeri ini, malah bakal terus berkembang pada masa akan datang.

Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, pengkhianatan besar-besaran pemimpin dan ahli yang keluar baru-baru ini tidak bermakna parti berbilang kaum itu akan berkubur begitu sahaja, sebaliknya akan akan terus hidup dan mendapat sokongan daripada rakyat di negeri ini.

Ini kerana, kata beliau PKR sentiasa lantang menegur dan mengkritik salah laku yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

“Sebagai sebuah parti yang berperlembagaan, parti ini telah melalui kemajuan yang sangat menggalakkan, daripada hanya mempunyai seorang wakil rakyat bermula 2006, telah meningkat dari semasa ke semasa.

“Kita berupaya memainkan peranan yang sangat aktif dalam menegur semua bentuk salah laku sama ada mereka itu menteri, wakil-wakil rakyat, kakitangan kerajaan dan siapa sahaja yang terlibat,” ujar beliau dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Abang Zulkifli memberitahu, sejak 20 tahun bertapak, PKR telah memainkan peranan yang amat aktif dalam politik tempatan mahupun kebangsaan.

“Kita memainkankan peranan dalam hal semak dan imbang dengan cara terbuka dan sesekali tidak berasa gentar,” tegasnya lagi.

Beliau turut mengakui isu pengkhianatan boleh berlaku kepada mana-mana parti politik termasuk PKR di Sarawak.

“Kehilangan wakil-wakil rakyat adalah fenomena biasa, sama ada mereka kalah dalam pilihan raya, tidak dipilih semula untuk bertanding atau dipecat atau yang lebih teruk lagi ialah kes-kes melompat dan segelintir ahli parti yang melompat atau dipecat.

“Ada antaranya hanya mengikut dengan membabi buta. Saya melihat itu adalah norma biasa dalam sesebuah parti politik dan tidak perlu digusarkan,” tambahnya.

Ujar beliau, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan sebuah parti tulang belakang Kerajaan Sarawak pun pernah berhadapan dengan insiden-insiden suram perpecahan selain parti-parti seperti PRS, SUPP dan parti-parti serpihan yang lain.

“Sergahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengatakan PKR akan terkubur adalah petanda bahawa mereka juga menaruh kekhuatiran yang tinggi terhadap kemaraan kita.

“Justeru, kewujudan PKR sememangnya dalam perhatian Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan saya mempunyai tafsiran bahawa PKR adalah sebuah parti yang akan menggugat kedudukan mereka,” katanya.

Malah, Abang Zulkifli menganggap para pemimpin dan ahli yang bertindak melompat parti tidak akan bertahan lama dan akan kehilangan sokongan rakyat.

“Politikus yang berpura-pura tidak akan bertahan lama. Sejarah memaparkan kepada kita mereka yang suka melompat itu akan kecundang di penghujungnya kelak.

“Mereka ini hanya dipergunakan bila sesebuah parti itu menghadapi kesusahan. Bila senang mereka akan ditinggalkan. Dalam kebanyakan kes mereka tidak akan dicalonkan lagi,” katanya.