PKR tolak politik kotor, komited bantu rakyat

PKR tolak politik kotor, komited bantu rakyat

 

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa supaya penyebaran video yang tular dan menjadi bualan umum ketika ini, dihentikan serta-merta.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gaya dan cara berpolitik sedemikian tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat atau pun negara.

“Keadilan tegas dan konsisten menolak sebarang bentuk permainan politik kotor.

“Lebih-lebih lagi apabila kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan (PH) telah diberi mandat oleh rakyat atas semangat agenda reformasi untuk membantu masyarakat dan membangunkan negara.

“Keadilan  sebagai salah satu parti komponen PH akan terus memberi tumpuan membantu kerajaan Persekutuan merangka dasar dan program untuk rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Awal pagi tadi, individu bernama Haziq Abdul Aziz yang juga merupakan seorang pembantu kepada seorang Timbalan Menteri, membuat pengakuan bersumpah bahawa beliau salah seorang dalam video yang tular itu.

Memetik pengakuan bersumpah di akaun Facebook miliknya, Haziq mendakwa video tersebut dirakam di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.

Sejak awal pagi semalam, tular mengenai beberapa video membabitkan dua lelaki melakukan hubungan sejenis dan salah seorangnya didakwa Menteri Kabinet.