Malaysia Dateline

PKR tunggu respons MUDA selepas tawar tiga kerusi

PKR sedang menanti jawapan di pihak Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) selepas menawarkan parti itu tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tawaran kerusi tersebut dibuat selepas tiga siri rundingan dengan parti diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu.

“Berhubung isu agihan kerusi, PKR telah mengadakan tiga siri rundingan bersama dengan MUDA selari menepati hasrat yang dinyatakan oleh Majlis Presiden PH dan PH Johor.

“Dalam siri rundingan tersebut, masing-masing telah memberi pandangan secara jujur dan terbuka.

“Hasil dari rundingan ini, PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada MUDA dan sedang menunggu maklumbalas berhubung tawaran tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor nanti.

LANJUT MENYUSUL