Malaysia Dateline

PKR tuntut Undi 18 dilaksana sekarang

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR tidak dapat menerima keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18).

Pengarah Komunikasi parti, Fahmi Fadzil berkata, MPP mengambil pendirian tegas bahawa Undi 18 mesti dilaksana sekarang.

Menurutnya, hal tersebut antara beberapa perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat bulanan pada hari ini.

Selain itu, katanya, MPP bersetuju untuk mewujudkan satu struktur di bawah parti khusus untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memperjuangkan isu-isu yang melibatkan golongan OKU.

Dalam masa sama, pimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu juga amat risau dengan laporan media berhubung dakwaan wujudnya ‘kartel’ dalam kalangan pegawai polis yang dipercayai berniat menjatuhkan Ketua Polis Negara.

Sehubungan itu, MPP PKR menggesa hal tersebut ditangani dengan tegas dan bersama Presiden parti untuk menyokong segala usaha menghapuskan ‘kartel’ tersebut kerana ia menjejaskan integriti dan kewibawaan institusi PDRM.

“MPP telah dimaklumkan berkenaan pertemuan Presiden PKR bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 Mac lalu.

“MPP menimbulkan rasa amat risau sekiranya SPRM terus mempunyai persepsi umum bahawa ia ‘senjata politik’ sesetengah pihak, dan perkara ini harus diperbetul,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, bagi aspek ekonomi, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, MPP membincangkan isu pengangguran terutama dalam kalangan anak muda yang dipercayai berada pada tahap 13.2 peratus atau sekitar dua setengah kali ganda kadar pengangguran nasional.

“Kadar keterlibatan wanita di dalam pasaran kerja juga dipercayai telah berkurang 0.5 peratus kepada 55.1 peratus.

“Keadaan ini amat membimbangkan dan PKR akan merangka beberapa dasar bagi mengatasi isu pengangguran anak muda dan keterlibatan wanita ini,” tambahnya lagi.