Malaysia Dateline

PKR ucap takziah pada keluarga VK Liew

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mendiang Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia sebentar tadi.

Menerusi kenyataan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution, beliau berkata mendiang merupakan seorang bekas Menteri Pakatan Harapan(PH) yang amat berdedikasi.

Tambahnya, Ahli Parlimen Batu Sapi itu juga cukup komited terhadap usaha reformasi perundangan, termasuk berkait reformasi sistem penjara serta hukuman gantung.

“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat Dewan Rakyat dan persada politik tanah air,” katanya.

Liew merupakan bekas Menteri Undang-undang sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu.

Perkara itu disahkan Timbalan presiden Warisan Darell Leiking dan anggota parlimen Sandakan Vivian Wong.

Awal minggu ini Liew dimasukkan ke hospital dan dilaporkan koma selepas mengalami jangkitan radang paru-paru.