Malaysia Dateline

PKR Wilayah Persekutuan gesa logo, bendera mereka digunakan pada PRU15

PKR di seluruh cabang Wilayah Persekutuan menggesa supaya logo dan bendera parti itu digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Perkara itu dinyatakan oleh 26 Ahli Majlis Pimpinan Negeri, termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR Wilayah Persekutuan yang merangkumi 40,873 anggota PKR seluruh Wilayah.

Antara yang menyuarakan cadangan tersebut adalah Ketua AMK WP, P. Prabakaran (Ahli Parlimen Batu); Ketua Cabang Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa); dan Datin Dr. Tan Yee Kew (Ahli Parlimen Wangsa Maju).

Mereka berkata, ketetapan tersebut diambil atas prinsip yang boleh membawa kemenangan, dengan menyifatkan bahawa logo PKR merupakan satu jenama yang dikenali di seluruh Malaysia.

“Penjenamaan perjuangan bercogankan “Keadilan Untuk Semua” tanpa mengira kaum, agama, dan jantina telah dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.

“Ini telah terbukti dengan majoriti rakyat menzahirkan sokongan dan memberi mandat pada PRU14 yang lalu dan menjangkakan agenda reformasi diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka juga berpendirian bahawa lambang PKR menjadi simbol kepada perjuangan suci membela rakyat marhaen menentang sistem yang korup dan zalim, bukannya perjuangan untuk golongan elit.

“Kami, seluruh kepemimpinan negeri Wilayah Persekutuan termasuk semua Ketua Cabang dan Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan mengambil ketetapan dan menggesa penggunaan logo PKR adalah satu langkah yang amat tepat dan paling sesuai sebagai satu formula yang akan membawa kemenangan pada PRU15 nanti,” ujarnya lagi.