Malaysia Dateline

PKRC MAEPS semakin sesak, kini ada lebih 700 pesakit kategori 3

Lebih ramai pesakit Covid kategori 3 dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Jabatan Kesihatan Selangor berkata, pada awal Januari lalu, PKRC MAEPS hanya mempunyai 60 katil untuk kategori 3.

“Pada awalnya PKRC MAEPS hanya mempunyai 60 katil untuk kategori 3 pada awal Januari lalu tetapi kini PKRC Bersepadu MAEPS sudah menempatkan 757 pesakit kategori 3.

“Kita juga sedang bercadang menambah kapasiti ini kepada 1,000 katil bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan angka pesakit Covid-19 terkini,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Kategori 3 bagi pesakit Covid-19 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru manakala kategori 4 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Ekoran perkembangan itu, pesakit dengan kategori 3 ditempatkan di dewan berhampiran dengan Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan, manakala pesakit kategori 1 dan 2 yang stabil ditempatkan di Dewan DG.

Dalam masa sama, Jabatan Kesihatan Selangor memaklumkan pihak PKRC akan berusaha sebaik mungkin memisahkan kategori pesakit warganegara dan bukan warganegara di dewan berkenaan.

“PKRC MAEPS juga mengucapkan terima kasih dan menyambut baik isu proses kemasukan yang dinyatakan pengadu dan akan melihat kembali serta melakukan penambahbaikan proses itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini, muncul dakwaan bahawa PKRC MAEPS tidak selesa dan selamat ekoran terlalu ramai pesakit yang positif ditempatkan bersama sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

Mereka mengadu tidak diberikan kemudahan asas seperti cadar, bantal dan mula mengalami batuk biarpun ketika mula dibawa ke situ mereka adalah kategori tiada gejala.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) digesa membenarkan mereka yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala menjalani kuarantin kendiri di rumah memandangkan keadaan di pusat kuarantin yang terlalu sesak.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 3,780 kes positif baharu Covid-19 dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sehingga tengah hari tadi sudah mencecah 470,110 kes.

Situasi PKRC MAEPS yang sesak dan padat setakat 9 Mei lalu. Foto: Van Fizzo