Malaysia Dateline

PKS mampu sumbang 15 peratus KDNK Kedah, kata Mahfuz

Industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terancang, moden dan cekap dilihat boleh meningkat dan berkembang sehingga mampu meyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Kedah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata di negeri Kedah, PKS dalam sektor pembuatan dan pertanian adalah yang paling meluas dan cerah untuk menyumbangkan kepada pertumbuhan tersebut.

“Salah satu strategi pembangunan sektor utama yang dirancang bagi memacu ekonomi Kedah adalah dengan menekankan pembangunan aktiviti PKS sebab itu kita galak pengusaha-pengusaha tempatan mempelbagaikan asas dan aktiviti ekonomi yang berdaya saing,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mahfuz yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena berkata, inisiatif kerajaan negeri yang menyediakan peluang latihan dan kemahiran terkini dalam industri pertanian terutamanya padi disokong sepenuhnya oleh kementeriannya.

Katanya, langkah itu dilihat bukan hanya dapat meningkatkan keupayaan petani tetapi juga mampu melahirkan modal insan berkemahiran serta menarik penyertaan golongan belia dalam sektor pertanian.

“Di bawah Kementerian Sumber Manusia, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) adalah salah satu agensi yang dipertanggungjawabkan membantu membangunkan program dan skim latihan dalam memperkembangkan industri PKS ini,” katanya selepas Sesi Dialog Teh Tarik Bersama Majikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) semalam di Alor Setar