Malaysia Dateline

PKS pacu kejayaan pendigitalan ekonomi Malaysia

Usaha pendigitalan ekonomi Malaysia tidak akan berjaya sekiranya ia tidak dipraktikkan oleh kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan 98.5 peratus daripada perniagaan di negara ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Malah, beliau berkata masih banyak PKS yang belum bersedia menjadi sebahagian daripada landskap digital tersebut.

“Atas dasar itu, saya menyeru PKS untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran teknologi digital agar dapat sama berkembang dan bersaing dalam sektor perniagaan hari ini,” katanya.

Beliau berucap pada majlis kolaborasi strategik geran padanan pendigitalan RM500 juta untuk PKS yang menyaksikan Bank Simpanan Nasional (BSN) dilantik oleh Kementerian Kewangan sebagai peneraju utama dan turut disertai oleh Kumpulan SME Bank dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi BSN Rossana Annizah Rashidi, Ketua Eksekutif BSN Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank Aria Putera Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri.

Mengulas majlis hari ini, Lim berkata geran RM500 juta selama lima tahun untuk PKS itu bertujuan menggalakkan mereka mendigitalkan perniagaan masing-masing.

“Kerajaan akan membiayai 50 peratus daripada kos langganan dengan jumlah sehingga RM5,000 untuk melanggan perkhidmatan relevan bagi setiap permohonan PKS yang diluluskan,” katanya.

Geran itu terbuka kepada 100,000 pertama PKS yang boleh membuat permohonan secara dalam talian bagi memantapkan proses pendigitalan perniagaan mereka menerusi Sistem Elektronik Tempat Jualan (e-POS), Perancangan Sumber Perusahaaan(ERP), Sistem Penggajian Sumber Manusia (CRM), Pemasaran Digital dan Perakaunan, katanya.

Menurutnya, ini penting dalam usaha meningkatkan lagi sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 18.5 peratus pada 2018 kepada 21 peratus pada 2022.

Lim juga optimis jumlah geran padanan sebanyak RM500 juta itu adalah mencukupi buat masa ini.

“Jika ia melebihi sasaran 100,000 PKS maka kerajaan akan menyemak semula keperluan itu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hatta berkata kementeriannya akan memulakan promosi mengenai geran padanan tersebut agar dapat diakses oleh 950,000 PKS di negara ini.

— BERNAMA