Plaza tol baharu BKH akan beroperasi hingga 31 Disember

Plaza tol baharu BKH akan  beroperasi hingga 31 Disember

Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (BKH) akan berpindah ke lokasi baharu mulai esok dan hanya akan beroperasi sehingga 31 Disember tahun ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan hari ini berkata ia berikutan pengumuman pemansuhan tol tersebut dalam pembentangan Bajet 2018.

Lokasi baharu itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin & Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu.

Ia akan dibuka serentak dengan pembukaan kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, menurut kenyataan itu.

Mulai 1 November plaza tol baharu itu akan mula beroperasi pada 6 pagi hingga 2 pagi setiap hari berbanding tempoh operasi 6 pagi hingga 12 tengah malam sebelum ini.

Dalam pembentangan Bajet 2018 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata kerajaan memutuskan untuk memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Selangor; Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan Eastern Dispersal Link, Johor.