PLUM anjur kursus kejurulatihan paragliding di Sabah

PLUM anjur kursus kejurulatihan paragliding di Sabah

Persatuan Luncur Udara Malaysia (PLUM) akan menganjurkan kursus kejurulatihan paragliding, sebagai usaha untuk melahirkan jurulatih sukan paragliding bertauliah di negara ini.

Presiden PLUM Kapten (B) Ikhwan Azillah berkata Kursus Kejurulatihan Paragliding Tahap 1 itu menggunakan silibus pembelajaran antarabangsa dan mendapat pengiktirafan Majlis Sukan Negara (MSN) akan diadakan di Komplek Sukan Negeri Sabah, Ranau pada 30 November hingga 3 Disember ini.

“Kursus Kejurulatihan Paragliding, usahama PLUM dengan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) dan MSN ini julung kali diadakan untuk  mereka yang berminat dan berhasrat untuk menjadikan bidang kejurulatihan sukan paragliding sebagai kerjaya mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Untuk menjadi seorang juruterbang paragliding bertauliah, Ikhwan berkata mereka perlu memiliki Sijil AKK Tahap 1 hingga 3.

“Hanya peserta yang mengikuti kursus anjuran PLUM dan memiliki Sijil AKK Tahap 1 hingga 3 sahaja yang akan layak menerima pentauliahan Jurulatih Paragliding Kebangsaan yang diiktiraf oleh MSN,” katanya.

Beliau menambah bahawa lokasi kursus adalah di Bukit Lohan, Ranau, lokasi  untuk semua peringkat kemahiran paragliding.

Yuran kursus ialah RM450 seorang.

Mereka yang berminat untuk mengikuti Kursus Kejurulatihan Paragliding Tahap 1 boleh e-mel [email protected]

— BERNAMA