PLUS tunggu keputusan kerajaan naikkan kadar tol pada 2016

Plus Malaysia Berhad (PLUS) sedang menunggu keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar tol sebanyak lima peratus, tahun depan, kata Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizan Abd Hamid.

Beliau berkata kenaikan itu selaras dengan perjanjian yang menetapkan kenaikan kadar tol sebanyak lima peratus setiap tiga tahun sekali bagi tempoh 2016 hingga 2038.

“PLUS tidak menaikkan kadar tol sejak 2005 lagi dan kenaikan itu wajar dilakukan disebabkan peningkatan kos operasi syarikat dari masa ke masa,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bantuan persekolahan anjuran PLUS di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya keputusan kenaikan kadar tol tersebut bergantung kepada keputusan akhir kerajaan dan menurutnya kenaikan kadar tol akan dilakukan secara berperingkat dengan 68 sen bagi setiap kilometer.

“Jika jarak perjalanan 100 kilometer, pengguna perlu membayar 70 sen sahaja ia tidak membebankan mereka,” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam satu kenyataan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini memaklumkan PLUS berhak mengkaji semula kadar tol setiap tiga tahun sehingga kontraknya berakhir pada 2038.

Katanya berdasarkan perjanjian konsesi tambahan PLUS yang ditandatangani pada November 2011, kerajaan dan PLUS Expressway Berhad (PEB) bersetuju memutuskan tiada kenaikan kadar tol di semua lebuh raya di bawah kendalian Plus bagi tempoh lima tahun dari 2011 hingga 2015.

Bagaimanapun Rosnah berkata kadar tol di Jambatan Pulau Pinang kekal sehingga 31 Dis 2038.

TAGS