Malaysia Dateline

PM akui peralihan kerajaan rugikan rakyat dan negara

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui peralihan dua kerajaan dan dua Perdana Menteri sebagai tidak menguntungkan rakyat dan negara ini.

Pengakuan Perdana Menteri kesembilan dari Umno-BN itu selepas hari beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.

“Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai Perdana Menteri petang tadi.

Sehubungan itu, Ismail menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Ahli Parlimen Bera itu juga dalam konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan mengajak agar segala perebutan kuasa dileraikan.

“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik.

“Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” ujarnya.

Ismail, 61, dengan sokongan 114 Ahli Parlimen menggantikan kedudukan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti.

Tahun lalu, Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac selepas Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mempunyai majoriti.

Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu dipimpin Mahiaddin dan 11 Ahli Parlimen PKR berpaling tadah manakala kerajaan PN jatuh setelah sebahagian Ahli Parlimen Umno menarik sokongan.