Malaysia Dateline

PM Anwar jawab mengapa pilih Indonesia negara pertama dilawati

Malaysia sentiasa memberi keutamaan kepada Indonesia dalam hubungan dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Indonesia menerima saya sebagai sahabat sejati, jadi saya tidak melupakan,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan Surat Hasrat dan pertukaran memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan Indonesia di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan memilih Indonesia sebagai negara pertama kunjungan rasminya setelah menyandang jawatan Perdana Menteri pada 24 Nov lepas.

“Indonesia itu jiran, serumpun, persahabatan baik, sahabat sejati dalam keadaan saya terlempar, terbuang, tersisih,” katanya.

Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Indonesia hari ini bagi lawatan rasmi dua hari.

PM Anwar jawab mengapa pilih Indonesia negara pertama dilawati
Sumber foto FB Page Anwar Ibrahim

Esok beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo atau lebih mesra dipanggil Jokowi di Istana Bogor, Jawa Barat, kira-kira 54 kilometer dari Jakarta Selatan.

Ditanya mengenai agenda pertemuannya dengan Jokowi, Anwar berkata ada 12 perkara yang disenarai untuk dibincangkan namun beliau enggan mengulas lanjut.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Adlan Mohd Shaffieq.

— BERNAMA

Baca juga : PM Anwar mulakan lawatan rasmi pertama ke Indonesia