Pertemuan Anwar – Elon Musk buka banyak peluang untuk anak muda

Oleh BORHAN AHMAD

Pertemuan antara Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk dan Perdana Menteri bakal membuka lebih banyak peluang kepada anak muda, pembekal, penyedia perkhidmatan serta pengeluar alat ganti dan komponen untuk terbabit secara aktif dalam industri kenderaan elektrik (EV).

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berpendapat perbincangan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bilionaire itu juga akan membawa kepada komitmen selanjutnya yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara amnya.

Menurutnya, sebarang komitmen yang bakal muncul hasil daripada mesyuarat itu akan menyediakan industri EV Malaysia dengan rangsangan besar.

“Pelaburan ikonik biasanya mempunyai kesan limpahan yang lebih besar melalui peningkatan, pengukuhan keyakinan pelabur tempatan dan asing serta lebih banyak penyertaan dalam pelaburan,” dipetik Bernama.

Pada 7 Julai lalu, Anwar ketika berucap pada majlis amanat Perdana Menteri kepada penjawat awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban berkata, Musk menyatakan hasrat untuk bertemu dengan beliau minggu ini berhubung penambahan pelaburan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Kim Leng menyifatkan pertemuan itu bakal memberikan implikasi positif kerana ia mengesahkan hala tuju ekonomi kerajaan untuk memperoleh pelaburan langsung asing (FDI) berimpak dan bernilai tinggi serta langkah ke arah tenaga bersih.

“Jumlah FDI Malaysia akan terus meningkat sekiranya hasil daripada mesyuarat itu dapat memberikan Musk atau mana-mana projek beliau bertapak di negara ini,” katanya lagi.

Pada 20 Julai ini, Tesla, pereka dan pengilang EV yang beribu pejabat di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS) akan membuat kemunculan rasminya di Kuala Lumpur.