PMO, MB Selangor dan Petronas selaras bantuan insiden Putra Height

Oleh BORHAN AHMAD

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar segala bentuk bantuan untuk mangsa insiden kebakaran di Putra Height perlu dibuat melalui koordinasi antara pejabat beliau, Menteri Besar Selangor dan Petronas.

Langkah ini bagi memastikan segala gerak kerja terkait pengurusan bantuan di lapangan dapat dibuat dengan teratur dan lebih berkesan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor industri amat penting dalam menangani situasi ini dengan segera dan menyeluruh.

“Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri telah mengarahkan agar segala bentuk bantuan dan usaha koordinasi terkait insiden kebakaran di Putra Heights perlu diselaraskan secara langsung dengan YAB Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari serta pihak Petronas diketuai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz,” kata kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan semasa dan memberi sokongan dan dukungan penuh terhadap segala usaha pemulihan dan keselamatan yang sedang dilaksanakan.

Negara digegarkan dengan tragedi letupan paip gas bawah di Putra Height pada 1 April lepas, namun sehingga kini tidak ada sebarang kehilangan nyawa berlaku.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, letupan paip gas bawah tanah itu menggegarkan kawasan penempatan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

Ia telah mencetuskan kebakaran besar sehingga menyebabkan 145 penduduk cedera dengan kebanyakannya melecur akibat bahang api terlampau panas.

Insiden itu turut menyebabkan 300 kediaman mengalami kerosakan, termasuk 78 dilaporkan musnah sepenuhnya, selain lebih 100 kenderaan milik penduduk terjejas, manakala sebahagian penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).