PM baru takut takut kemuka idea, kata Pemuda AMANAH

Oleh ARIF ATAN

Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan ucapan sulung Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidaklah begitu mengujakan.

Timbalannya Muhamad Taqiuddin Cheman berkata, banyak pihak menunggu apa langkah yang Perdana Menteri hendak ambil dengan garis masa yang masuk akal untuk keluar daripada krisis dihadapi negara ini.

“Ucapannya sangat biasa dan seolah-olah takut-takut untuk mengemukakan idea.

“Semua hujah pentingnya seperti pelajar SPM menjawab soalan esei. PM hanya menyatakan apa yang semua orang sudah tahu, dan mengulang-ulang untuk beri tumpuan dan cari jalan penyelesaian,” tempelaknya dalam satu kenyataan hari ini.

Petang tadi, Ismail Sabri menyampaikan ucapan sulungnya dengan antara lain memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Naib Presiden Umno itu berpendapat konsep tersebut bersifat lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Mengulas konsep itu, Taqiuddin berkata, hanya mungkin selepas ini orang memberi salam dalam acara atau program kerajaan dengan menyebut “Salam Keluarga Malaysia”.

“PM juga tak sebut Perikatan Nasional atau PN dalam ucapannya. Disebut satu-satu parti secara berasingan. Trauma agaknya untuk sebut; risau terimbas badi kerajaan gagal.

“Lagi satu yang pelik, PM sebut peralihan kerajaan dan PM ini sesuatu yang merugikan rakyat dan negara tapi yang menjadikan ia rugi adalah dirinya.

“Dia (Ismail Sabri) yang mengambil alih jawatan PM ini,” bidasnya.

Taqiuddin yang juga Ahli Dewan Undagan Negeri (Adun) Pulai Sebatang di Johor berkata, ucapan Ismail juga tidak menyebut berkenaan formula kerajaan stabil dan penterjemahan kepada titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini iaitu, “yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua”.

“Yang ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang memang dah ada dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19. Yang kalau tak jadi PM pun, orang lain boleh buat. Macam Tun buat.

“Skor saya bagi untuk ucapan sulung PM ini 5 per 10,” kata Ketua Pemuda AMANAH Johor.

Dalam masa sama, beliau turut mengaitkan ucapan sulung Perdana Menteri dari Umno itu dengan realiti ramai rakyat kehilangan kerja akibat siri pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

“PM mungkin benar-benar boleh bekerja bersama rakyat kalau rakyat ada kerja. Masalah sekarang ini, rakyat pun dah ramai kena buang kerja.

“Kita tunggulah siri ucapan PM seterusnya. Beginilah nasib rakyat. Dengar perutusan, ucapan. Bilalah nak habis,” perli Taqiuddin lagi.