PM Britain teruskan Brexit walaupun berdepan situasi sukar

PM Britain teruskan Brexit walaupun berdepan situasi sukar
Sehingga kini, May telah melalui saat yang sukar sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri.

Perdana Menteri UK Theresa May tetap akan teruskan Brexit, perjanjian yang akan mengeluarkan UK dari Kesatuan Eropah (EU) walaupun berdepan situasi sukar, lapor Reuters.

Sehingga kini, May telah melalui saat yang sukar sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri. Hal ini kerana beberapa menteri kabinet, termasuk menteri yang bertanggungjawab hal berkaitan Brexit telah meletak jawatan.

May telah berjanji untuk meneruskan Brexit dan memberi amaran pertukaran pemimpin hanya berisiko melambatkan usaha Britain untuk keluar dari EU. Ia juga berpotensi untuk menyebabkan Britain keluar daripada organisasi itu tanpa perjanjian yang bermanfaat kepada UK, atau akan meletakkan kedudukan ekonomi kelima terbesar dunia ini kepada situasi tidak menentu.

Walaupun May terus kekal berkuasa, tetapi tahap tentangan di dalam parti konservatif beliau menunjukkan perjalanan sukar untuk mendapat kelulusan parlimen.

“Kami berpendapat bahawa perjanjian (Brexit) akan memberi manfaat kepada UK dan seharusnya tiada sesiapa yang masih ragu-ragu, dan saya komited untuk memastikan ia terjadi,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan di lobi premier perniagaan Britain.

“Kita bukan bercakap tentang teori politik tetapi soal realiti kehidupan orang awam.

“Walaupun ketika ini dunia sedang cepat berubah, tetapi geografi kita tidak, dan Eropah akan sentiasa menjadi destinasi pasaran kita yang terdekat. Oleh itu penting untuk kita memastikan arus kemasukan dan pengeluaran di sempadan kita dikekalkan,” kata May sambil memberi penekanan tentang kepentingan industri otomotif secara khusus.

ADIL DAN SEIMBANG

Loading...

Kesatuan Eropah dijadualkan akan mengadakan persidangan untuk membincangkan perjanjian Brexit ada 25 November. Beberapa ahli kabinet May telah dilaporkan ingin mengubah beberapa isi dalam perjanjian tersebut, walaupun negara-negara EU telah menolak permintaan tersebut.

Perunding EU bagi Brexit, Michel Barnier, mengatakan bahawa deraf perjanjian tersebut sebagai ‘adil dan seimbang’ dan telah menawarkan agar Brexit dapat dilakukan pada bulan Mac tahun hadapan sekaligus memberi jaminan kepada perjanjian berkaitan isu perdagangan.

May menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk Brexit berlaku, dimana Britain akan kekal sebagai ahli kecuali tanpa hak nama dan mengundi. Beliau juga turut berharap agar Brexit dalam dilakukan sebelum pilihanraya seterusnya yang dijadualkan pada tahun 2022. Kesatuan Eropah telah bersetuju untuk menerima cadangan Britain untuk menunda Brexit bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020 sahaja.

Barnier sebelum ini telah berjumpa dengan kesemua menteri bagi 27 kerajaan Kesatuan Eropah di Brussel dalam usaha mereka untuk melengkapkan deklarasi yang khusus dan non-binding. Usaha ini adalah sebahagian usaha mereka untuk melengkapi hubungan berkaitan perdagangan dan sekuriti dengan Britain.

Para diplomat mengatakan bahawa beberapa isu strategik telah dipertengahkan – seperti Perancis menekankan isu hak memancing ikan, manakala Sepanyol berkaitan tuntutan terhadap Gibraltar kepada Britain. Walaubagaimanapun, ia tidak akan melambatkan proses Brexit itu.

Sehingga kini, walaupun sudah melebihi tempoh dua tahun selepas referendum di UK diadakan, dimana 52 peratus bersetuju untuk keluar dari Kesatuan Eropah, situasi bagi Brexit masih tidak menentu walaupun UK dijadualkan untuk keluar dari EU pada 29 Mac 2019.