Malaysia Dateline

PM dan isteri beri penghormatan terakhir kepada jenazah Muhammad Adib

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Airod, Subang, hari ini.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN) dan dijangka dikebumikan di Kuala Kedah hari ini.

Jenazah Allahyarham Muhammad Adib kemudian diterbangkan ke Kedah untuk dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah jam 8.50 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Muhammad Adib dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) menggunakan van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diiringi pasukan pengiring JBPM dan Polis Diraja Malaysia.

Sebelum itu, jenazah Muhammad Adib dimandi, dikafan dan disolatkan di pekarangan IPFN yang disertai lebih 50 jemaah terdiri daripada pegawai kanan dan anggota bomba.

Setibanya jenazah Muhammad Adib di Kedah, JBPM akan mengadakan istiadat pengebumian kebombaan sebagai tanda memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.