Malaysia Dateline

PM digesa perbetul fakta, Politeknik Ungku Omar bukan yang terawal perkenalkan TVET

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk membetulkan semula fakta berhubung institusi terawal yang menyediakan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam negara

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran, Politeknik Ungku Omar bukanlah institusi terawal yang menyediakan latihan TVET seperti yang diumumkan perdana menteri ketika merasmikan Miggu TVET Negara 2022 semalam.

Sebaliknya beliau berkata, institusi pertama yang menyediakan latihan tersebut adalah Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur, yang terletak di Kuchai Lama.

Menurutnya, institut yang terletak di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTM) dan Kementerian Sumber Manusia itu ditubuhkan pada 1964 dan merupakan institut pertama yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menjalankan latihan vokasional secara formal.

“Adalah malang bahawa perdana menteri tidak dinasihatkan oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai fakta ini dan langsung mengabaikan sejarah institut itu.

“Anda tidak boleh memadam dan menulis semula sejarah.

“Sejarah institut itu termasuk ia menampilkan pensyarah Jepun berprestij dari ILO dan dikunjungi oleh ramai VIP termasuk Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri keempat Tun Mahathir. Mengapa kerajaan mengabaikan semua ini?,” Soalnya dalam satu kenyataan.

Pada semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Hari TVET Negara diisytiharkan pada 2 Jun sebagai usaha meneruskan pemerkasaan bidang kemahiran sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dalam majlis tersebut, beliau merasmikan pelancaran logo TVET sebagai simbolik penjenamaan TVET negara dan menambah, pemilihan tarikh 2 Jun adalah bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar yang merupakan institusi penyedia TVET terawal sejak 1969.

Menurut Kula Segaran, ketika beliau menjadi menteri pada 2018, beliau telah melawat institut tersebut dan bekerjasama dengan Daikin Malaysia Sdn Bhd untuk melatih 3,000 juruteknik melalui pelaksanaan program pembangunan sumber manusia, di mana ILPKL akan menjadi salah satu institut yang terlibat.

“Saya menggesa PM untuk membetulkan kesilapan besar ini kerana TVET adalah saluran yang penting untuk anak-anak kita, mereka juga mesti menghargai sejarahnya.

“Jika beliau bersama-sama kementerian yang terlibat pada majlis ini boleh mempamerkan ketidakcekapan dan mengabaikan sejarah, ia adalah hari yang menyedihkan bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.

Baca juga: Guna MyDebit Cash Out lebih mudah, pemuda kongsi macam mana cara nak keluarkan duit

Baca juga: Lelaki khusyuk buat susu anak sambil bawa kereta, rupa rupanya…