PM dijangka bubar parlimen pagi ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan pembubaran parlimen selepas mesyuarat kabinet pagi ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Pengumuman di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya itu dijangka akan disiarkan secara langsung menerusi RTM TV1, lapor The Star.

Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung.

Undang-undang menetapkan ia mesti dibuat dalam tempoh 60 hari.

Terdahulu, Bernama melaporkan, kereta rasmi Najib dilihat memasuki bangunan Perdana Putra kira-kira jam 8.40 pagi.

Sebelum itu, kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta menteri kabinet lain dilihat memasuki bangunan berkenaan bagi menghadiri mesyuarat kabinet mingguan.

Para petugas media termasuk jurugambar sebelum itu telah menunggu di luar bangunan Perdana Putra serta Istana seawal jam 7 pagi kerana menjangkakan Najib akan bertemu dengan Yang Dipertuan Agong bagi tujuan pembubaran.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote