PM harap F1 kembali ke Malaysia

PM harap F1 kembali ke Malaysia

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Malaysia akan terus menghasilkan lebih ramai bintang dalam sukan permotoran, bukan sahaja sebagai pelumba atau pemandu, tetapi juga sebagai jurutera.

“Malaysia kini bukan hanya melihat kepada perlumbaan sahaja, tetapi juga bidang kejuruteraan. Wang yang dibelanjakan untuk membina litar (Litar Antarabangsa Sepang) telah digunakan sebaiknya.

“Saya berharap F1 akan kembali (ke Malaysia) suatu hari nanti,” kata Dr Mahathir dalam ucapan ringkas selepas menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Sukan Permotoran Petronas SIC – Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) 2018 di sini malam ini.

Beliau mengakui bahawa idea membina Litar Antarabangsa Sepang telah membuka jalan bagi pembangunan bakat tempatan dan pemindahan teknologi dalam sukan permotoran.

Dr Mahathir berkata beliau mendapat idea untuk membina sebuah litar perlumbaan antarabangsa ketika melawat sebuah litar pelumbaan iaitu, Litar Autodromo di Portugal dan tidak pernah terfikir yang Malaysia akan mempunyai sebuah litar perlumbaannya sendiri.

“Saya dapat melihat penerimaannya amat baik, bukan sahaja untuk menonton perlumbaan F1, tetapi juga untuk menyertai perlumbaan itu sendiri,” katanya.

Tun Dr Mahathir merupakan penerima pertama Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

— BERNAMA