Malaysia Dateline

PM Interim tidak wajar dahului titah Agong, tegas Majlis Presiden PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendirian adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri interim (sementara) mendahului titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam hal berkaitan lantikan Perdana Menteri.

Dalam mesyuarat tergempar malam ini, majlis tersebut menegaskan hak dan kuasa melantik seseorang Perdana Menteri terletak di tangan Yang Di-Pertuan Agong seperti termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, pengumuman Perdana Menteri interim (sementara) memanggil sidang Parlimen untuk memilih Perdana Menteri adalah mencabar hak dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

“Umum sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincang perkara ini,” dipetik dari kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara dan wewenang Yang di-Pertuan Agong dalam hal tersebut.