Malaysia Dateline

PM Ismail tak perlu usul keyakinan di Dewan Rakyat, kata Peguam Negara

Pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda.

Dalam kenyataan Peguam Negara Idrus Harun berkata, sekiranya pelantikan perdana menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada baginda, ini bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi oleh pihak lain.

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan perdana menteri dan kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang,” kata beliau.

Pada 18 Ogos lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah perdana menteri yang dilantik menerusi surat akuan ahli Dewan Rakyat hendaklah “secepat mungkin” mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin menyoal kembali Idrus Harun kerana usul undi percaya di Parlimen merupakan titah YDPA dan telah diperkenan untuk menguji keabsahan perdana menteri.

“Oh jika test keabsahan PM maknanya macam cabar kuasa YDPA ya?”

“Habis tu, jika YDPA sendiri yang menitahkan dan perkenankan untuk diuji keabsahan, macam mana pula?

“Bukankah di dalam undang-undang ada istilah “estoppel” atau “condonation”?”soal beliau.

Pada 18 Ogos, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Perdana Menteri yang baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti.

Sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 6 September hingga 30 September ditangguh ke tarikh 13 September sehingga 12 Oktober selama 17 hari sekali gus menjadi perhatian apabila dijangka usul undi percaya terhadap Ismail Sabri akan diadakan.