Malaysia Dateline

PM Ismail tidak patut saman Lokman Nor Adam, kena terima kritikan rakyat!

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyaman seorang ahli Umno, Datuk Lokman Nor Adam tidak wajar dilakukan.

Ini kerana, kesemua hakim di negara ini dilantik oleh Yang Dipertuan Agong berdasarkan nasihat perdana menteri, kata bekas Timbalan Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin.

“Jadi kita boleh bayangkan bagaimana seorang hakim yang mendengar kes yang melibatkan perdana menteri walaupun dia menyaman atas sifat atau kapasiti pribadi dia

“Ini kerana perdana menteri juga adalah seorang manusia, jika dia datang ke mahkamah, hakim akan takut untuk membuat keputusan yang tidak memihak kepada dia (perdana menteri) dan dengan sendirinya hakim akan serba salah apabila ini berlaku.

“Suasana ini tidak baik untuk rule of law,” kata Hanipa menerusi facebook beliau.

Menurut Hanipa, beliau tidak berkata yang beliau bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Lokman Nor Adam tetapi sebagai perdana menteri Ismail sepatutnya tertakluk kepada penilaian awam.

“Rakyat perlu diberikan hak untuk mengkritik mereka walaupun sepedas mana sekalipun kecuali kalau jelas sangat ia adalah perbuatan jenayah.

“Seorang perdana menteri perlu bersifat sabar dan sedia dikritik,” kata Ahli Parlimen Sepang itu.

Bagi beliau, sebagai perdana menteri yang mempunyai pelbagai keistimewaan atau privilage, mereka perlu menerima sebarang risiko selepas mendapat keistimewaan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 September lepas, dengan menamakan Lokman, 49, yang juga ahli Umno selaku defendan tunggal.

Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri, 62, mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk “Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

Beliau berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube “Lokman Adam”, Facebook “Lokman Noor Adam Official”, Instagram “lokmannooradam” dan TikTok “datoklokmanadam”.