Malaysia Dateline

PM keenam sejam bertandang ke pejabat PM kesembilan

Perdana Menteri menganggap Datuk Seri Najib Razak komited untuk menyumbangkan masa, tenaga dan idea bagi pemulihan ekonomi Malaysia ekoran pandemik Covid-19.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian semalam selepas sejam mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri keenam itu semalam.

Naib Presiden Umno itu berkata, mereka telah membincangkan tentang cabaran ekonomi dalam dan luar negara termasuk strategi mendepani Covid-19.

“Datuk Sri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta,” katanya di Facebook rasminya malam tadi.

Najib, 68, mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang menyaksikan kejatuhan Umno-BN buat julung kalinya pada Pilihan Raya Umum 2018 ekoran pelbagai isu termasuk skandal dana pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Pekan itu berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.