Malaysia Dateline

PM, kerajaan bertindak bijak tarik diri Statut Rom

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) merupakan langkah bijak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan.

Katanya, Dr Mahathir telah pun memberikan penjelasan mengenai tindakan itu termasuk mengambil kira pandangan daripada raja-raja Melayu.

“Ada kebijaksanaan yang dibuat oleh perdana menteri dan kerajaan supaya tidak timbul permasalahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis santai bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bandar Sri Sendayan semalam.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada menyertai Statut itu berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, namun menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut tersebut membahayakan negara.

Keputusan untuk menarik diri daripada Statut itu dicapai secara bersama dalam mesyuarat mingguan Kabinet, kelmarin.

— BERNAMA