PM Anwar kongsi dasar Malaysia Madani di Laos

Oleh BORHAN AHMAD

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi dasar Malaysia Madani dengan rakyat Malaysia yang menetap di Laos sekarang ketika berkunjung ke negara itu.

Sambil menyifatkan kunjungan beliau ke Laos memberi peluang kepada beliau dan rakan sejawatan Dr Sonexay Siphandone untuk memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara, beliau juga membuat promosi tentang Malaysia madani.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berkata kunjungan yang bermula semalam turut membolehkan momentum positif dibina sebelum Laos mengambil alih Kepengerusian ASEAN daripada Indonesia tahun depan.

“Selain bertemu pemimpin serta komuniti Islam Laos, saya juga akan mengadakan pertemuan bersama rakyat Malaysia yang menetap di negara ini (Laos) sekali gus berpeluang berkongsi dasar serta aspirasi Malaysia MADANI bersama mereka.

“Semoga lawatan ini dapat membawa manfaat buat kedua-dua negara,” kata perdana menteri, lapor Bernama.

Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi dari Kuala Lumpur tiba di Vientiane petang tadi untuk lawatan rasmi dua hari bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi dengan negara anggota ASEAN.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Laos melonjak 425 peratus daripada AS$48.7 juta (RM202.5 juta) pada 2021 kepada AS$255.6 juta (RM1.13 bilion) pada 2022, dengan peratus paling tinggi disumbangkan menerusi peningkatan dalam permintaan bagi produk elektronik Malaysia.

Malaysia merupakan penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) keempat terbesar Laos tahun lepas selepas China, Thailand dan Vietnam, terutamanya dalam sektor tenaga, zon perdagangan bebas, automotif dan sektor perbankan.

Malaysia dan Laos telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1 Julai 1966.