PM: BN bolehkan Melayu nikmati kehidupan lebih baik

Kuasa yang ada pada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Umno membolehkan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini menikmati kehidupan yang lebih baik termasuk dalam bidang pendidikan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 merupakan bukti yang jelas kerajaan sentiasa mengambil berat pendidikan anak Melayu dan Bumiputera terutama dari golongan kurang berkemampuan.

“Kedudukan anak Melayu dan Bumiputera termasuk yang berada di Sabah dan Sarawak dan Orang Asli lebih baik kerana apa?…kerana perjuangan Umno yang bawa perubahan termasuk menerusi program JPB.

“Kalau pihak pembangkang, yang ditunjangi DAP, jangan harap ada program seperti ini akan dilaksanakan mereka. Ini mesti kita faham, apa yang kita lihat hari ini tidak boleh dipisahkan dengan kekuasaan politik kerana inilah yang menentukan kemungkinan segala-galanya berlaku, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program JPB 2017 yang dihadiri kira-kira 15,000 orang di Padang Majlis Daerah Bera hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) merangkap menteri mentor JPB 2017 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera Prof Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib berkata tanpa adanya program JPB, agak sukar untuk institusi pengajian tinggi membuka peluang kepada anak Melayu dan Bumiputera daripada golongan miskin B40 untuk memperoleh peluang kedua mengubah masa depan mereka menerusi pendidikan.

“Mereka ada keinginan untuk berjaya, ubah nasib masing-masing, namun berharap pada peluang, kalau mereka miskin, tidak ada peluang diberikan, mereka tidak akan ada keyakinan diri.

“Mungkin bimbang tidak akan diterima kalau insitusi pengajian tinggi meletakkan syarat yang terlalu tinggi,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)