Malaysia Dateline

PM langgar sumpah jawatan, selamat diri dari darurat politik

Keengganan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas didakwa hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen, jelas melanggar perlembagaan persekutuan dan ikrar sumpah jawatannya untuk mempertahankan perlembagaan negara.

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How (gambar atas) berkata, dengan penarikan sokongan tiga Ahli Parlimen Umno terhadap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), maka Muhyiddin sebenarnya telah hilang sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

Jelasnya, Perlembagaan Malaysia Perkara 43(4) menetapkan sekiranya Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan melainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Nasihat pengisytiharan darurat yang membawa kepada penggantungan fungsi Dewan Rakyat serta Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya menunjukkan langkah menyelamatkan kedudukan politik beliau sendiri.

“Sedangkan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan serta undang-undang sedia ada cukup memadai dalam manangani wabak Covid-19.

“Nasihat darurat pada ketika rakyat Malaysia berdepan dengan kesengsaraan dan kesusahan yang tidak pernah dialami, bagai luka ditabur garam, dan dituang lumpur ke dalam air keruh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu Howard berkata, Muhyiddin telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri atas rasional menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik.

Walhal katanya, ia adalah langkah menyelamatkan diri daripada darurat politik yang melanda diri dan partinya.

Adun Pasir Pinji itu juga menyifatkan Muhyiddin telah gagal mentadbir negara dengan baik setelah merampas kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Kini parti-parti yang menyokongnya mula marah. Ahli-ahli Parlimen Umno sudah bersiap sedia untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional,” katanya lagi.