Malaysia Dateline

PM mempertahan Hishammuddin jelas betapa angkuhnya kumpulan kayangan

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terus mempertahankan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk tidak meletakkan jawatan setelah melanggar prosedur operasi standard (SOP) memperlihatkan satu bentuk keangkuhan kumpulan kayangan.

Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, sebelum ini beberapa menteri bertindak serupa seperti Datuk Khairudin Aman Razali, Datuk Zulkifli Al Bakri sewaktu pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, kerana tiada hukuman setimpal kesalahan itu kekal berulang oleh menteri menteri lain.

Bahkan katanya, denda RM1000 atau jika RM10,000 sekalipun, bukan perkara besar bagi individu bertaraf menteri, ia bukan hukuman yang cocok kerana tidak pun akan memberi pengajaran berguna buat mereka.

“Benar dari sudut perlembagaan, tindakan terbabit tidak meletak Hishamuddin dalam keadaan perlu meletak jawatan.

“Namun, selain dari sudut perundangan, ada peraturan atau etika yang lain disebut sebagai “moral” yang harus dipatuhi oleh pemimpin kerajaan,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Bagaimanapun katanya, Hishammuddin adalah menteri pertahanan yang turut mempengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, beliau sendiri sebelum ini mengumumkan pelbagai SOP Covid-19 kebangsaan.

“Apabila individu yang menjadi sebahagian dari penggubal undang-undang, sekiranya undang undang tersebut dilanggar oleh dirinya sendiri, Hishamuddin tidak lagi layak untuk berada disitu,” ujarnya lagi.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana rakyat akan hormat atau akur pada peraturan yang dimana penggubalnya sendiri bertindak melanggar, apatah lagi hukuman yang sama taraf bagi penggubal undang undang dan rakyat biasa, adalah satu peraturan yang “Dilihat tidak adil”.

Semalam Ismail Sabri mempertahankan Hishamuddin untuk tidak perlu meletak jawatan sebagai menteri setelah melanggar SOP ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencegah penularan Covid-19.

Menurut Ismail Sabri, tindakan terbabit bukan satu jenayah yang memerlukan Hishammuddin melepaskan jawatan sebagai Menteri Pertahanan.