Malaysia Dateline

PM Pakistan umum kerjasama dengan Malaysia, Turki wujudkan saluran TV

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengumumkan bahawa beliau akan bekerjasama dengan Malaysia serta Turki untuk melancarkan saluran TV Islamik berbahasa Inggeris yang baharu.

Objek utama saluran TV berkenaan kata beliau adalah untuk menangkis cabaran yang dihadapi oleh dunia Islam termasuk soal Islamophobia, lapor Gulf News Asia.

Imran Khan yang berada di New York bagi menyertai Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), melalui tweeter pada Rabu lalu menjelaskan tentang keperluan di sebalik pelancaran saluran hasil kerjasama itu.

“Presiden Erdogan, PM Mahathir dan saya sendiri telah mengadakan perjumpaan hari ini di mana kami memutuskan tiga negara ini akan bekerjasama melancarkan saluran TV berbahasa Inggeris yang bertujuan menangkis serangan yang dibuat oleh Islamophobia dan menjelaskan perihal sebenar mengenai agama kita yang agung – Islam,” kata Imran melalui akaun Twitter.

Dalam hantaran tweeter yang lain Imran berkata, “Salah faham yang membuatkan ramai orang menentang Islam perlu diperbetulkan”.

Rabu lalu, Imran juga menghadiri persidangan meja bulat peringkat tinggi mengenai “Ucapan Berbau Kebencian” yang dihoskan bersama oleh Pakistan dan Turki.

Berucap di persidangan itu beliau menyeru supaya langkah-langkah berkesan bagi mengatasi masalah ucapan berbau kebencian serta Islamophobia perlu segera diambil.

Mengenai peningkatan insiden diskriminasi dan keganasan berasaskan kepercayaan dan agama, Imran menjelaskan bahawa agama tiada kena mengena dengan keganasan.