Malaysia Dateline

PM patut rujuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum pelantikan dibuat

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam tidak harus dipersalahkan, kerana hakikatnya, jawatankuasa itu perlu dirujuk sebelum melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahlinya, Syed Ibrahim Syed Noh menjelaskan, tidak sepatutnya jawatankuasa tersebut dilabel sebagai gagal berfungsi, malah isu pelantikan Latheefa Beebi Koya berbangkit kerana tiada sebarang rujukan dilakukan bersama ahli jawatankuasa sebelum pemilihan dilakukan.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata, isu tersebut terus dibangkitkan kerana dalam janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) yang lalu, PH telah pun menyebut tentang pelantikan jawatan utama itu yang perlu dilapor dan dipilih oleh jawatankuasa berkenaan.

Namun akuinya, jawatankuasa tersebut sememangnya tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam memilih dan menentukan jawatan utama dalam perkhidmatan awam kerana tiada peruntukan undang-undang yang dibuat berkenaan itu.

“Seharusnya sebelum pengumuman lantikan jawatan utama berkenaan, bagi kita untuk dengar sekali. Bagi kita dapatkan pandangan dari Suruhanjaya atau setiausaha terlibat, kemudian kita boleh beri semula pandangan kepada kerajaan. Pada akhirnya keputusan itu boleh dibuat oleh Perdana Menteri.

“Cuma saya rasa untuk menyatakan kita tidak berfungsi langsung, itu saya tak setuju. Sebagai Jawatankuasa memang kami tidak ada kuasa untuk memilih dan melantik sebab tak ada peruntukan undang-undang lagi.

“Tapi kita boleh persoal dan minta penjelasan kerana ia sebagai satu fungsi jawatankuasa khas ini dalam semak dan imbang keputusan eksekutif.

“Bagi saya, walaupun kita tidak ada kuasa dibawah undang-undang, tetapi Jawatankuasa itu telah wujud. Jadi sepatutnya perlu diberikan taklimat dan penerangan sebelum apa-apa lantikan dibuat. Kami perlu dirujuk terlebih dahulu,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian membidas kenyataan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang menyalahkan jawatankuasa pilihan khas parlimen itu kerana tidak mengikhtiarkan reformasi untuk membataskan kuasa perdana menteri dalam hal tersebut.

Tambah Syed Ibrahim, keengganan mereka menerima pelantikan tersebut kerana tiada rujukan atau perbincangan yang dilakukan sebelum pelantikan, ditambah dengan penglibatan aktif Latheefa dalam politik.

Jelasnya, beliau berharap kerajaan tidak melihat jawatankuasa tersebut sebagai ‘lembaga’ atau bayang-bayang dengan mengetepikan peranan mereka sebagai badan tambahan yang seharusnya dipilih untuk memberikan pandangan sebelum pelantikan dibuat.

Beliau turut sependapat dengan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpendapat lebih baik menggantung jawatankuasa berkenaan kerana kewujudan badan tersebut seolah-olah tidak memainkan apa-apa peranan.

“Sekurang-kurangnya, kita perlu diberi peluang untuk menyuarakan pandangan. Jadi kita harap kerajaan pun nampak macam tu lah. Dan kerajaan perlu beri peluang supaya Jawatankuasa ini boleh membantu.

“Bukan kita nak merosakkan dan mencemarkan pelantikan tersebut, Tidak. Saya nampak ia sebagai satu badan tambahan di peringkat parlimen,” ujarnya.