PM, pemimpin pembangkang zahirkan takziah insiden serangan di London

PM, pemimpin pembangkang zahirkan takziah insiden serangan di London

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menzahirkan rasa terkejut dan sedih dengan serangan yang berlaku di London, petang semalam.

Menerusi akaun Twitter rasminya sebentar tadi, Perdana Menteri berdoa supaya keselamatan orang yang tidak bersalah terus terpelihara.

Beliau turut menegaskan Malaysia berdiri teguh di belakang United Kingdom (UK) dalam detik mencabar ini. “Kita semua tidak patut tunduk terhadap ancaman pengganas,” katanya.

Manakala Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula berkata bagi ahli pembangkang di Parlimen Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang terbunuh dan cedera dalam serangan keganasan yang berlaku di luar Westminster di London pada Rabu.

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail “Kami juga amat mengutuk jenayah ini yang tidak masuk akal dan kejam terhadap kemanusiaan yang cuba menyemai ketakutan bagi rakyat Britain dan juga sebagai satu serangan ke atas salah satu institusi tertua demokrasi berparlimen di dunia.

“Kami berdiri bersama-sama dengan kerajaan dan rakyat Great Britain dalam waktu sukar ini,” ujarnya menerusi kenyataan media hari ini.

Seorang daripada dua penyerang ditembak mati oleh pasukan polis di London selepas melakukan serangan di luar bangunan Parlimen Britain di Westminster malam tadi waktu Malaysia.

Terkini dilaporkan,   5 maut,  40 cedera di jambatan berhampiran manakala laporan AFP menyebut, penyerang menikam seorang pegawai polis di perkarangan bangunan tersebut.

Sementara itu, Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia setakat ini dilaporkan cedera dan terjejas dalam insiden serangan tersebut.

TAGS