Malaysia Dateline

PM Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini diumumkan sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad yang baharu.

Dalam satu kenyataan daripda Pejabat Perdana Menteri menyatakan, selain Dr Mahathir empat lagi individu turut dilantik memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu.

Mereka terdiri daripada Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Dr Sukhdave Singh dan Pengerusi Maybank Asset Management  Goh Ching Ying.

Bagi pelantikan jawatan Pengarah Urusan Khazanah akan diumumkan kemudian seperti dinyatakan dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Semua pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah yang baharu ini berkuat kuasa serta merta.

Pada Khamis Khazanah Nasional mengesahkan laporan berita bahawa semua ahli lembaga pengarahnya, termasuk pengarah urusan telah menawarkan untuk meletakkan jawatan.

Tindakan tersebut adalah untuk memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baru.

Justeru Dr Mahathir pada Jumaat dipetik berkata, peletakan jawatan pengarah urusan dan ahli lembaga pengarah Khazanah akan membolehkan kerajaan menstuktur semula syarikat dana nasional itu.

Malah Dr Mahathir berkata, hak untuk melantik ahli lembaga pengarah yang baharu atau memindahkan mereka ke syarikat lain atau pun mengekalkan sesetengah mereka untuk kesinambungan perjalanan syarikat adalah keputusan Perdana Menteri.