Malaysia Dateline

PM perlu diberi masa kekal tadbir negara sepenggal, kata Mohd Amar

Pas tiada masalah sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, diberi peluang untuk terus kekal mentadbir negara sehingga habis tempoh sepenggal.

Naib Presiden as  Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Dr Mahathir perlu diberi masa untuk melakukan pelbagai pembaharuan di negara ini.

“Lebih elok beliau habiskan penggal ini supaya dia boleh lakukan reformasi dimahukan. Sekiranya tempoh pendek, tidak banyak pembaharuan boleh dibuat.

“Kita tiada masalah, jika beliau teruskan untuk tempoh satu penggal kerana beliau dipilih melalui jalan demokrasi,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Bharu,lapor hmetro hari ini.

Sebelum ini dilaporkan ketika perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali ke-2, perwakilan dari Kelantan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Bachok, Zulkifli Zakaria mencadangkan Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang turut disokong lapan perwakilan negeri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dilaporkan membayangkan cadangan berkenaan tidak boleh dilaksanakan.

Pengerusi Bersatu itu dilaporkan berkata, perjanjian yang dibuat sebelum PRU-14 bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) supaya beliau menjawat jawatan itu untuk sementara waktu, adalah satu pengorbanan yang perlu diterima ahli Bersatu.