Malaysia Dateline

PM perlu ubah keputusan benarkan pengeluaran simpanan KWSP

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memanggil satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kabinet untuk mengubah keputusan membenarkan pengeluaran awal simpanan KWSP bagi membantu para pekerja dalam menghadapi bencana Covid 19.

Sebaliknya kata Lim, beliau harus mengumumkan kesediaan kerajaan untuk menyediakan bantuan sokongan wang tunai daripada rizab kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas

“Saya bersetuju dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan sepatutnya menggunakan rizab negara ataupun meningkatkan hasil sumbangan daripada industri minyak dan gas negara melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan bukannya dengan menggunakan dana di KWSP untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Kerajaan harus memberi pertimbangan serius terhadap cadangan sekretariat Pakatan Harapan supaya dana kecemasan diedarkan kepada penerima BSH, bermula dengan bayaran RM1,000 untuk bulan Mac dan sekali lagi untuk bulan April,” kata beliau melalui kenyataan di blognya semalam.

Ujar Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, kerajaan perlu menggunakan rizabnya untuk membiayai cadangan ini, yang akan menelan kos kira-kira RM8.2 bilion.

Katanya, Majlis Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah menghentam cadangan Muhyiddin untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk tempoh 12 bulan akan datang mulai 1 April sebagai satu langkah yang terkebelakang yang hanya akan mengurangkan simpanan jangka panjang pencarum KWSP.

“Semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras akan bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung MTUC, J Solomon yang mengadu pada ketika MTUC memohon kerajaan untuk menyuntik dana bagi membantu jutaan pekerja di negara ini yang secara langsung terjejas dengan kemusnahan yang disebabkan wabak Covid-19, kerajaan sebaliknya menyuruh rakyat untuk menggunakan simpanan hari tua mereka.

“Ini adalah satu lagi kesilapan Muhyiddin, jemaah menteri dan penasihat tertinggi beliau dan mereka harus kembali ke meja perbincangan untuk merancang satu pakej rangsangan kewangan yang benar-benar dapat membantu para pekerja dan direka untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan dan pekerjaan,” kata beliau.

Jelas beliau lagi, adalah teramat penting untuk pihak kerajaan bertindak dengan profesionalisme, cekap dan tangkas dalam mengemukakan cadangan yang sesuai dan berpatutan bagi membantu semua sektor di Malaysia yang terjejas dengan krisis Covid-19 ini.

Ini katanya, memandangkan peningkatan 212 kes baharu Covid-19 dalam 24 jam yang lepas menunjukkan bahawa kita belum lagi mencapai kemuncak wabak Covid-19 atau sebarang petanda yang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan pada 31 Mac.

Pda 23 Mac lalu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa 1 April ini bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat.

Beliau berkata, inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu tertakluk kepada jumlah RM500 sebulan selama 12 bulan membabitkan pencarum bawah usia 55 tahun.