Malaysia Dateline

PM persembah pelan yang bukan pelan, bidas PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin hanya membentangkan satu ‘pelan’ tanpa apa-apa pelan yang sebenar.

Menurutnya, Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa dan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat itu hanya siri fasa tanpa strategi yang lengkap.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, Majlis Presiden PH berpendapat pelan tersebut juga tanpa langkah-langkah yang jelas, bersepadu dan menyeluruh untuk mengatasi pandemik Covid-19.

Mengakui “sangat terkejut” dengan apa dibentangkan Presiden Bersatu itu petang semalam, pelan itu didapati tidak menggariskan bantuan secukupnya kepada rakyat serta syarikat-syarikat yang sedang menderita, memulihkan ekonomi, dan menyegerakan kebangkitan semula Malaysia.

“Ia bagaikan satu ‘pelan mengaku kalah’ pada pandemik Covid-19.

“Malah lebih mengejutkan ialah siri fasa ‘pelan’ tersebut kononnya berasaskan sains dan
data, namun realitinya data yang dimaksudkan tidak telus, tidak terbuka dan tidak
terperinci untuk diteliti orang ramai, dan mudah termanipulasi seperti yang pernah kita
saksikan sebelum ini,” kata mereka.

Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Semalam, Mahiaddin berkata setiap fasa Pelan Pemulihan Negara berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Jelasnya, tiga indikator itu adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awammengikut kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa keempat contohnya akan dilaksanakan jika negara berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian menurun di bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil ICU mencukupi serta 60 peratus populasi menerima dua dos suntikan vaksin.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH menyifatkan pelan tersebut sebagai satu pengumuman tergesa-gesa yang cuba mengalihkan pandangan rakyat dari keadaan kepimpinan yang terumbang-ambing, hilang arah, dan gagal berkali-kali untuk mengawal pandemik dengan baik.

“Jika diikut juga ‘pelan’ ini, akhirnya yang akan dipersalah dan menjadi mangsa sekiranya
pandemik tidak dapat dikawal adalah rakyat,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, pembentangan Pelan Pemulihan Negara berlaku sehari sebelum Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara hari ini.

Orang ramai menganggap pembentangan Muhyiddin semalam tidak lebih hanya pelan bagi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukannya pemulihan negara seperti disebutkan.