Malaysia Dateline

PM pertimbang desakan rombak kabinet

Kerajaan akan mempertimbangkan desakan untuk merombak kabinet selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kajian terhadap prestasi setiap menteri akan diadakan oleh kerana ia bukan tindakan yang mudah dan perlu pemerhatian yang teliti.

“Saya sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab lah berkenaan dengan rombakan kabinet dan saya terima pandangan mereka. Saya akan beri perkembangan terhadap desakan supaya kita adakan rombakan tersebut.

“Tetapi bukanlah hari ini atau esok. Ianya setelah kita mengkaji dan meneliti pencapaian dan kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini dan selepas dari itu barulah kita akan bincang tentang kemungkinan kita adakan rombakan kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Ibu Pejabatnya hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu itu turut menegaskan bahawa tindakan merombak kabinet bukan satu jaminan kepada penyelesaian terhadap kedudukan kerajaan.

“Rombakan bukan dengan sendirinya menjadi satu tindakan yang boleh memulihkan kedudukan kerajaan.

“(anggapan) seolah-olah dengan rombakan kabinet dan semuanya selesai, adalah tak begitu. Sebab itu, nak ada rombakan kita kena kaji dengan cukup teliti akan sebab-sebab rombakan. Kita nak kena tahu juga orang yang nak ambil alih dan nak ganti nanti,” katanya.

Katanya lagi, rombakan itu kemungkinan hanya akan dilakukan sebelum Sidang Kemuncak Pimpinan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25 yang akan dianjurkan Malaysia tahun depan, namun ia tidak akan melibatkan rombakan yang besar.

Ini kerana katanya, program APEC yang bakal menghimpunkan beberapa negara besar itu memerlukan komitmen dan persediaan secukupnya sebagai tuan rumah.

“Ia akan diadakan sebelum (APEC). Tapi saya tak mahu perubahan yang sangat ketara sebab kita kena buat persediaan yang secukupnya oleh kerana ini melibatkan mesyuarat besar antara beberapa buah negara. Kita pula akan menjadi tuan rumah kepada APEC.

“Kita tak boleh perkecilkan (program) ini kerana ia adalah satu mesyuarat antarabangsa yang terpenting. Sebab itu persediaan secukupnya penting, tetapi ini menjadi satu halangan kepada perubahan radikal dalam kerajaan,” ujarnya merujuk kepada soalan adakah perubahan radikal itu termasuk kepada peralihan kuasa beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.