PM puas hati dengan kerja-kerja tangani insiden pencemaran kimia

PM puas hati dengan kerja-kerja tangani insiden pencemaran kimia

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan bagi menangani kesan insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, yang memberi kesan kepada kesihatan para penduduk sekitarnya.

Beliau berkata petugas hospital menjalankan kerja dengan baik dalam menangani krisis dengan berkesan dan mengelak ia daripada bertambah buruk.

“Memang jarang sekali berlaku kejadian pembuangan bahan kimia sehingga menjejaskan kesihatan ramai ini, tapi nyata sekali mereka (petugas) berjaya mengelak sebarang kematian.

“Mereka yang dirawat di hospital juga akan dibenarkan pulang tidak lama lagi apabila benar-benar sembuh,” katanya dalam persidangan media selepas menyampaikan kad keanggotaan kepada lapan bekas pemimpin Umno Sabah di sini hari ini.

Merujuk kepada lawatannya ke Pasir Gudang semalam Dr Mahathir berkata secara keseluruhannya kerja-kerja menangani krisis berjalan dengan baik.

Dr Mahathir seterusnya mengulangi bahawa tiada sebab untuk mengisytiharkan darurat berhubung insiden berkenaan setakat ini.

Merujuk kepada beberapa kritikan berhubung pengendalian krisis pencemaran itu di mana ada yang berpendapat ia sepatutnya dilaksanakan lebih awal, Dr Mahathir berkata: “Mereka yang mengkritik kami sepatutnya tampil sebelum kami berbuat apa-apa, dan beritahu kami apa yang perlu dibuat, kemudian kami boleh ikut (arahan) dia.”

Insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim bermula pada 7 Mac lepas, dan sehingga kini ia menjejaskan kesihatan kira-kira 3,000 orang penduduk sekitar, termasuk para pelajar, yang terpaksa dirawat, manakala 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup.

Sementara itu semasa ditanya pendiriannya mengenai dasar baharu Lesen Import (AP) yang diumum kerajaan baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau merasakan peraturan yang teratur diperlukan untuk pemberian kelulusan AP.

Katanya selepas beliau berundur dari jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003, AP diberikan kepada banyak pihak, sehingga menjadikan ramai kalangan mereka kaya-raya.

“AP adalah cara bagi mereka yang tidak menjalankan perniagaan automotif, untuk menceburi bidang perniagaan itu dengan cara yang mudah,” katanya.

Rabu lepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengumumkan bahawa tiada had bagi jumlah AP yang diberikan sepanjang tahun di bawah Dasar Baharu AP Terbuka, yang dilaksanakan pada 1 Jan 2019.

Ditanya sekiranya rundingan berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dapat dimuktamadkan pada bulan April, Dr Mahathir berkata: “Kami harap begitulah.”

“Kadangkala ada rundingan yang kita boleh tetapkan tarikh untuk menamatkan atau menyelesaikannya, tapi kadangkala ada perkara-perkara yang timbul, yang menghalang kita daripada kekal dengan tarikh yang ditetapkan. Sasaran kita ialah April,” katanya.

Projek ECRL menelan belanja yang besar, menjangkau RM55 bilion, dan Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan projek itu boleh dijalankan pada kos RM35 bilion.

Kerajaan telah membayar RM200 juta faedah kepada kontraktor utama ECRL, dengan pembayaran faedah berasaskan pinjaman RM55 bilion yang diambil daripada China Communications Construction Company (CCCC) sebagai kontraktor utama ECRL.