Malaysia Dateline

PM sahkan Muhamad letak jawatan sebagai Gabenor Bank Negara

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Muhammad Ibrahim telah mengemukakan peletakan jawatannya hari ini.

“Kami belum memutuskan penggantinya kerana kami memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebelum kami boleh mengumumkan nama,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Kompleks Perdana Putra hari ini.

Semalam Muhammad dilaporkan media asing Bloomberg yang memetik sumber tidak didedahkan itu, Gabenor BNM menawarkan diri untuk meletakkan jawatan selepas dua tahun berkhidmat.

Tindakan itu dibuat kurang sebulan selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memenangi pilihan raya umum dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membangkitkan persoalan mengenai pembelian tanah oleh bank pusat itu daripada pentadbiran terdahulu.

BNM berkata, pembelian itu dibuat pada nilai yang wajar dan mematuhi semua keperluan tadbir urus serta undang-undang berkaitan.

Muhammad dinaikkan pangkat untuk menerajui BNM selama lima tahun pada Mei 2016, apabila Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, yang dilantik oleh Mahathir meletakkan jawatan selepas berkhidmat selama 16 tahun.

Beliau mendaki kerjaya di bank pusat selepas menyertainya pada 1984 dan diberikan sokongan oleh Zeti sebagai pengganti bagi menjamin kestabilan dasar.

Dilahirkan pada 1960 dan mempunyai ijazah Sarjana dari Harvard University, Muhammad berdepan cabaran pasaran kewangan yang tidak menentu selepas mengambil alih kepimpinan di BNM.

Beliau memotong kadar faedah selepas mengambil alih jawatan dan melaksanakan had ke atas dagangan tukaran asing yang mengundang kritikan daripada peniaga mata wang.

Ekonomi Malaysia sejak itu meningkat, dengan mata wangnya antara yang mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun global tahun ini.