Malaysia Dateline

PM setuju kes pembunuhan Altantuya dibuka semula, kata peguam

Dr Mahathir telah mengarahkan agar semua bukti baru dan kukuh dikemukakan kepada Peguam Negara untuk dikaji.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju agar kes pembunuhan Altantuya Shariibuu dibuka semula, kata peguam bapanya, Ramkarpal Singh.

Sehubungan itu, Dr Mahathir telah mengarahkan agar semua bukti baru dan kukuh dikemukakan kepada Peguam Negara untuk dikaji.

“Kami sudah terangkan mengenai kes itu dan beliau bersetuju yang ini adalah kes yang baik dan perlu dibuka semula dan ia perlu mengikut undang-undang.

“Apa yang pasti, terdapat orang lain yang terlibat dengan waran bahawa siasatan itu dibuka dengan segera untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya dalam sidang media bersama bapa Altantuya, Setev Shariibuu selepas mereka menemui Dr Mahathir di Putrajaya.

Terdahulu dari ini, Setev membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dengan lebih dalam peranan yang dimainkan oleh Penolong Pesuruhjaya Polis Musa Safri dalam kes pembunuhan Altantuya.

Musa adalah pegawai polis yang ditugaskan menjadi keselamatan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, Setev turut mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menggesa beliau membuka semula siasatan.

Ramkarpal berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa, pihak polis sepatutnya tahu siapa yang terlibat.