Malaysia Dateline

PM tak patut campur tangan urusan prosiding dewan

Barisan Senator Pakatan Harapan sama sekali tidak mempunyai masalah peribadi dengan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara menggantikan Tan Sri A S Vigneswaran, hari ini.

Senator Aiman Athirah Al Jundi bagaimanapun mempertikaikan bahawa Perdana Menteri tidak sepatutnya mencampuri urusan prosiding sidang termasuk dalam proses memilih dan mencalonkan Speaker baharu.

Katanya, peraturan mesyuarat menetapkan Perdana Menteri hanyalah berperanan sebagai Ketua Majlis yang seharusnya bertindak untuk memanggil dan mengadakan mesyuarat sahaja.

“Kita melihat perkara ini sebagai satu yang sedikit malang pada ketika kita telah pun memulakan reformasi Dewan Negara dan cuba mengangkat martabat Dewan sepanjang 22 bulan kerajaan PH memerintah, tetapi sidang kali ini bermula dengan satu perkara yang sedikit canggung.

“Kita tak mempunyai masalah peribadi dengan Datuk Rais Yatim. Tetapi ia adalah isu perundangan dan peraturan.

“Kalau Speaker sendiri diangkat dengan cara yang boleh dipertikaikan dari sudut peraturannya, maka bagaimana mungkin kita melihat bahawa Dewan Negara boleh terus di reformasikan dan diberikan mandat sebaiknya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, usul pencalonan Rais dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usul itu disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya.

Justeru itu, Aiman menegaskan bahawa proses melantik Speaker seharusnya dibuat dengan cara yang benar bersesuaian dengan cadangan mereka yang mahukan tempoh membuat pemilihan dilanjutkan pada minggu hadapan.

Sementara itu, Senator Liew Chin Tong mencadangkan agar Rais Yatim meletakkan jawatannya di dalam parti seperti yang dilakukan oleh bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

“Saya alu-alukan doa yang diucapkan (Rais) bahawa beliau nak kurangkan mesej politik dalam sidang Dewan Negara. Cadangan saya, Rais Yatim letak jawatan dari parti supaya dia jadi YDP tanpa jawatan dalam parti seperti yang dilaksanakan Tan Sri Ariff semasa jadi YDP Dewan Rakyat,” katanya lagi.