PM terima ijazah kehormat, darjah kebesaran tertinggi Jepun

PM terima ijazah kehormat, darjah kebesaran tertinggi Jepun
Tun M menerima ijazah kehormat doktor falsafah dari University of Tsukuba, Jepun.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dianugerahi ijazah kehormat doktor falsafah oleh University of Tsukuba di Jepun dan darjah kebesaran tertinggi negara Jepun ‘The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers’ oleh Maharaja Jepun.

Penganugerahan ijazah kehormat itu, yang merupakan pengiktirafan tertinggi universiti berkenaan terhadap sumbangan Dr Mahathir dalam mempertingkatkan pertukaran dalam bidang penyelidikan dan pendidikan di peringkat antarabangsa, semasa lawatan beliau ke kampus universiti itu di Tokyo.

Ijazah kehormat itu disampaikan Presiden universiti berkenaan, Prof Kyosuke Nagata, lapor Bernama.

Terdahulu, sebelum majlis penyampaian anugerah itu berlangsung, Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Nagata.

Perdana menteri membuat lawatan rasmi tiga hari beliau ke Jepun, yang antara kemuncaknya adalah pengurniaan darjah kebesaran tertinggi negara Jepun ‘The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers’ oleh Maharaja Jepun di Imperial Palace di Tokyo pada Selasa.

Selain University of Tsukuba, perdana menteri akan turut melawat Toyo University di sini pada Rabu dan lawatan beliau ke kedua-dua universiti berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk mempelawa universiti Jepun membuka cawangan luar negara mereka di Malaysia.

Penubuhan cawangan luar negara universiti Jepun di Malaysia akan membolehkan pelajar Malaysia mendapat akses kepada sistem pendidikan Jepun pada kos yang lebih rendah.

Pada masa sama, mereka dapat mempelajari bahasa, nilai dan budaya Jepun, yang turut memberi manfaat kepada pelajar dari rantau ini.

Dalam kunjungan Duta Jepun ke Kementerian Wilayah Persekutuan September lalu, menterinya Khalid Samad mempelawa universiti di Jepun membuka kampus mereka di Putrajaya.

COMMENTS