PM tidak boleh disaman: Pemuda Amanah saran Najib letak jawatan

PM tidak boleh disaman: Pemuda Amanah saran Najib letak jawatan

Bagi Pemuda Amanah sesuatu yang memeranjatkan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak wajar disaman dalam hujah peguamnya terhadap saman oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Faiz Fadzil Bagi Pemuda Amanah sesuatu yang memeranjatkan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak wajar disaman dalam hujah peguamnya terhadap saman oleh Tun  Dr. Mahathir Mohamad berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walaupun Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Mohd Khir Toyo memutuskan bahawa Menteri Besar adalah penjawat awam, namun keengganan Perdana Menteri berpegang kepada keputusan tersebut, menunjukkan ia suatu tindakan terdesak.

“Perdana Menteri mengelakkan bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB yang mana beliau juga adalah Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat milik kerajaan tersebut.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau adalah ketua kerajaan dan badan eksekutif yang mana pegawai dan kakitangan di bawahnya adalah penjawat awam.

“Gaji beliau juga dibayar daripada kantung kerajaan. Oleh demikian, adalah tidak munasabah untuk Perdana Menteri atau Menteri ditafsirkan sebagai bukan penjawat awam kerana ia bertentangan dengan peruntukan dan semangat undang-undang dan perlembagaan,” ujar Faiz Fadzil, Timbalan Ketua Pemuda Amanah.

Semalam peguam Najib, Mohd Hafarizam Harun dipetik berkata, seorang Perdana Menteri tidak boleh disaman atas alasan salah laku kerana beliau bukan seorang penjawat awam, sebaliknya merupakan ahli pentadbiran Persekutuan.

Ini berikutan peruntukan Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan timbalannya serta Setiausaha Politik tidak tergolong dalam takrifan penjawat awam.

“Definisi penjawat awam dalam Kanun Keseksaan melalui kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo juga berbeza dengan definisi penjawat awam dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah salah untuk membawa definisi itu dalam tuntutan salah laku,” ujar Mohd. Hafarizam.

Hujah tersebut merupakan antara intipati permohonan Najib selaku Ahli Parlimen Pekan untuk membatalkan saman oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Faiz yang juga seorang peguam bagaimanapun menjelaskan, Najib seharusnya mengambil tanggungjawab terhadap segala kepincangan dan salah urus pentadbiran kerajaan termasuk skandal 1MDB.

” Beliau sepatutnya tidak mengelak tanggungjawab kepada pihak awam iaitu rakyat dengan menyatakan beliau bukan penjawat awam.

“Apatah lagi rakyat adalah ‘stakeholder’ kepada skandal 1MDB akibat hutang yang berpuluh bilion ringgit.

“Jika Datuk Seri Najib berterusan mengelak tanggungjawab atas alasan bukan penjawat awam, maka adalah lebih baik beliau meletakkan jawatan.

“Jawatan datang dengan tanggungjawab dan bukan untuk kekayaan peribadi,” ujarnya.

 

TAGS