PM tidak boleh tipu mahasiswa, yuran naik cecah 300%, kata Pemuda Amanah

Perdana Menteri mungkin boleh menipu mahasiswa yang memberi sokongan penuh kepadanya tetapi bukan terhadap mahasiswa di seluruh negara yang rasional dan sedar akan realiti pelbagai kos pengajian yang terpaksa ditanggung, kata Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional.

Exconya, Mohamad Ammar Atan berkata, kos pengajian dan perbelanjaan mahasiswa meningkat dalam peratusan yang cukup tinggi ekoran pemotongan bagi belanjawan pendidikan tinggi sepanjang tempoh dua tahun berturut-turut.

Hal ini katanya, boleh dilihat pada kenaikan tidak munasabah kadar beberapa jenis yuran terhadap mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan paling ketara peningkatan menjangkau 300 peratus bagi Yuran Dana Kebajikan pada tahun ini berbanding 2014.

Beliau berkata, yuran kemasukan pelajar UIAM bagi tempoh sama turut meningkat sebanyak 32 peratus manakala yuran kolej kediaman untuk pelajar Ijazah Sarjana bertambah sehingga mencecah 27.7 peratus.

Situasi kenaikan kadar yuran juga dikenakan bagi Yuran Akademik (Per Subjek) yang menyaksikan kenaikan 3.4 peratus berbanding tahun 2014.

Ammar yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) turut memberitahu yuran kolej kediaman bagi pelajar Ijazah Sarjana di kampus itu pula naik mendadak sehingga 50 peratus berbanding tahun lalu.

Menyifatkan jaminan Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini kononnya yuran pengajian universiti tidak akan dinaikkan sebagai hanya menyedapkan hati pelajar, beliau berkata, hakikatnya penuntut di universiti juga dibebani dengan banyak lagi kos perbelanjaan.

“Ini tidak termasuk kos-kos yang terpaksa ditanggung oleh mahasiswa yang lain seperti kos membeli buku, peralatan belajar, makan dan minum, pengangkutan awam, dan kenaikan kos sara hidup yang lain.

“Tatkala mahasiswa dan rakyat terus dihimpit, pihak kerajaan terus-menerus mengeluarkan kenyataan dan mengambil tindakan yang tidak berpijak di bumi nyata dan membutakan mata terhadap realiti dan kesan sosio-ekonomi yang ditanggung mahasiswa seluruh Malaysia.

“Pada masa yang sama, kerajaan tergamak memotong belanjawan terhadap biasiswa, dermasiswa dan pinjaman kepada mahasiswa,” jelas beliau lagi dalam kenyataannya hari ini.

Najib ketika membentangkan Bajet 2016 pada 23 Oktober lalu mengumumkan pengurangan peruntukan Kementerian Pengajian Tinggi daripada RM15.785 bilion kepada RM13.378 bilion.

Bagaimanapun, jaminan Presiden Umno itu kononnya pengurangan dana tersebut tidak akan menyebabkan kenaikan yuran universiti turut diulangi sekali lagi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kelmarin, Zahid antara lain menyebut pengurangan sebanyak RM2.4 bilion itu tidak harus dijadikan alasan universiti untuk menaikkan yuran pengajian.

Bahkan, ujarnya lagi, mempunyai hikmah tersembunyi untuk universiti menonjolkan sifat berdaya tahan dalam mengharungi cabaran ekonomi semasa.

TAGS