Malaysia Dateline

PM tidak harus lepaskan tiga peluang ini

Bukanlah perkara biasa bagi Perdana Menteri menjemput Ketua Pembangkang dan pemimpin utama blok pembangkang datang ke pejabatnya sebaik dilantik memegang jawatan tersebut.

Biasanya yang lebih dulu dipelawa datang ke pejabat apabila dapat jawatan besar seperti Perdana Menteri ini ialah penyokong dan rakan sekutu yang selama ini memang diketahui merupakan penyokongnya.

Biasanya juga, inilah masanya untuk sesama sendiri meraikan kejayaan, bergelak ketawa, berpeluk-peluk sambil menawarkan apa yang boleh ditolong dan meminta-minta kedudukan bagi keselesaan hidup masa depan.

Tetapi, Ismail Sabri Yaakob sebaik mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu dan baru memulakan tugas rasminya pada 23 Ogos nampaknya telah melakukan pendekatan yang berbeza.

Di hari ketiga memulakan tugas rasminya, beliau telah menjemput Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan dua pemimpin utama PH, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng datang ke pejabat untuk berbincang beberapa isu berkaitan negara dan kepentingan rakyat.

Yang nyata, dengan apa yang dilakukan Ismail Sabri ini ialah beliau sedar cabaran di depannya adalah besar dan jawatan Perdana Menteri yang dipikulnya bukanlah anugerah selepas menang perang, namun merupakan amanah serta tanggungjawab yang harus ditunaikan sebaik mungkin.

Meskipun pertemuan beliau dengan pemimpin PH semalam menimbulkan pelbagai tafsiran – ada yang senang, cemas, susah hati dan tidak mustahil ada yang mula mata bergenang, pada peringkat awal ini sekurang-kurangnya tiga perkara ini tidak harus dilepaskan peluang untuk dilakukannya.

Pertama, pada sesi Parlimen September akan datang ini, Ismail Sabri harus tidak berlengah lagi untuk mengabsahkan sokongan majoriti yang dimilikinya.

Jangan lagi meniru gaya Mahiaddin Md Yasin yang takut dengan Parlimen dan berlengah-lengah membenarkan sidang serta tergamak mendaruratkan institusi tersebut.

Dengan adanya jaminan Anwar dan PH semalam bahawa mereka akan menyokong undi percaya di Parlimen, ini adalah peluang terbaik untuk beliau membuktikan dirinya lebih jantan berbanding Mahiaddin serta untuk mengelakkan jawatan yang dipegangnya dipertikai serta diperlecehkan secara berterusan.

Walau bukan keperluan, tetapi dengan berani mengabsahkan jawatannya di Parlimen, gangguan tentang majoritinya tidak akan berbangkit lagi.

Ambillah teladan Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi yang sebaik mereka dilantik sebagai Perdana Menteri, masing-masing telah bertindak mendapatkan mandat sokongan Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Kedua, perkara yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat dalam minggu ini adalah pembentukan Kabinet dan pelantikan menteri-menteri.

Berikutan pertemuan Ismail Sabri dengan Anwar, Mohamad Sabu dan Guan Eng semalam, bermakna inilah pertama kali Perdana Menteri bertemu pemimpin-pemimpin pembangkang terlebih dahulu sebelum beliau menyusun barisan Kabinetnya.

Dalam suasana krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang sedang melanda negara, kalau tidak membentuk kerajaan perpaduan pun tidak mengapa.

Apa yang paling sederhana rakyat harapkan adalah Kabinet kali ini sekurang-kurangnya mestilah lebih kecil dan tidak dibarisi mereka yang tidak berwibawa serta tidak berguna yang ada dalam era kepimpinan Mahiaddin sebelum ini.

Bentuklah Kabinet yang kecil dengan menteri yang sedikit, tetapi di dalamnya penuh dengan pemimpin yang mempunyai otak yang besar, bukan pemimpin mulut besar dengan cakap atau kenyataan mereka lebih membuatkan rakyat meluat mendengarnya.

Dengan adanya jaminan PH untuk menyokong usul percaya juga, Ismail Sabri tidak perlu risau lagi untuk melantik atau mengenepikan sesiapa.

Malah, beliau boleh tidak ambil peduli jika ada yang cuba mengugut atau mengancam menarik sokongan lantaran tidak dilantik sebagai menteri atau tidak diberikan jawatan lebih besar daripada itu.

Pedulikan mereka, sekarang adalah masa untuk mengutamakan rakyat dan negara, bukan menjaga perut dan nafsu mereka yang haloba.

Ketiga, imej yang ada pada Ismail Sabri sekarang ialah beliau diangggap merupakan pewaris kerajaan gagal yang ditinggalkan Mahiaddin sebelum ini dan beliau mesti segera keluar daripada persepsi itu.

Jika susunan Kabinet, jumlah menteri dan mereka yang dilantik lebih memperlihatkan sikap tunduknya kepada faktor-faktor tertentu berasaskan kelompok atau parti, Ismail Sabri dijangka akan berdepan masalah yang sama atau mungkin lebih parah daripada Mahiaddin dahulu.

Lagi pun, PRU mungkin tidak berapa lama lagi perlu diadakan, pertengahan tahun depan sebaik-baiknya ia harus dilangsungkan untuk mengembalikkan kestabilan secara total kerana mandat yang ada sekarang adalah lanjutan daripada sebuah pengkhianatan.

Untuk itu, tidak perlu ada menteri yang ramai dan lebih tidak perlu juga untuk dilantik ialah muka-muka lama yang usang yang nampaknya masih kemaruk lagi untuk berada dalam kerajaan.

Bakat-bakat baru daripada kalangan pelapis parti atau profesional yang berkelayakan harus diberi peluang menunjukkan kedudukan mereka sebagai pelapis kepimpinan negara.

Dengan tiga perkara di atas, jika diambil perhatian oleh Perdana Menteri selepas pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin PH semalam, beliau akan lebih berpeluang untuk diterima serta diyakini dengan lebih baik lagi.